BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, July 16, 2012

DISEBALIK BANYAK BUKU YANG DIBACA













Mengapa kita sukar memperolehi jawapan yang menenangkan? Atau kita asyik salah membuat kesimpulan? Atau kita terpinga-pinga dan keliru apabila berdepan isu dan persoalan yang melanda di depan mata? Atau paling malang, mengapa kita menyalahkan sesuatu yang sememangnya betul?


Ramai ulama memberikan jawapan bahawa ia sebenarnya berpunca daripada dua faktor yang bertentangan.

Pertama, kita tidak atau kurang membaca. Kedua, kita terlalu banyak membaca!

Anda tidak membaca anda jahil. Itu jawapan untuk manusia hari ini. Dunia kini bergerak sepantas ilmu yang dikuasai manusia. Oleh kerana ilmu adalah dengan membaca, anda akan terperuk di belakang dalam kotak jahil jika anda gagal untuk membaca.

Anda hanya mengharap jawapan daripada angin yang lalu. Akhirnya anda hidup tertipu. Ditipu oleh diri sendiri yang buta atau oleh orang lain yang suka mengambil kesempatan memangsakan anda. Pendek kata, tiada yang positif daripada kalimah jahil. Ubat jahil adalah dengan membaca atau berkawan dengan orang yang membaca.

Perhatikan berapa ramai orang yang tidak membaca dan dia pula suka berkawan dengan orang yang juga tidak membaca. Perhatikan juga betapa orang yang membaca tidak gemar berkawan dengan orang yang tidak membaca.

Jadi, jika anda ingin berkawan dengan orang alim, anda kenalah juga jadi alim dengan membaca. Jika tidak, anda mungkin hanya boleh mendekatinya tetapi dia tidak pun mendekati anda.

Justeru, anda kekal sebagai murid sampai tua. Jika guru anda itu alim yang baik, anda selamat menumpang ilmunya. Jika dia alim yang jahat, anda tak mungkin selamat. Bagaimana anda yang jahil nak selamat jika anda tak tahu pun dia jahat?

Hanya yang berilmu tahu gurunya baik atau tidak. Itu jika si jahil itu mahu jadi murid. Bagaimana jika dia enggan? Tidakkah hanya orang yang mencintai ilmu sahaja yang suka menjadi murid? Begitulah kesukaran mengubat kejahilan.

Justeru adalah tidak sukar untuk mengatakan bahawa orang yang jahil sentiasa sukar memperolehi jawapan yang benar dalam kehidupan dunianya, apatah untuk akhiratnya.

Tetapi, anda perlulah juga sedar bahawa antara faktor sukarnya memperolehi jawapan yang benar adalah kerana terlalu banyak membaca! Banyak membaca adalah baik. Tetapi jika anda membaca apa sahaja sedang anda gagal membina asas binaan diri yang kukuh, bacaan anda itu pasti akan memberati anda lalu ia menindih atau menggelincirkan anda sama sekali.

Anda membaca itu dan ini, pandangan itu dan ini, jawapan itu dan ini. Akhirnya kepala anda jadi berat dan bersilang-silang. Anda gagal memilih mana satu pilihan yang tepat. Sebabnya anda tak tahu siapa anda sebenarnya. Anda belum membina diri sendiri sebelum menduduki binaan orang lain. Apa yang anda baca hari ini?

Ya, Allah berfirman, “Bacalah.” Tetapi tidakkah Dia juga menambah, “Dengan nama tuhanMu.”

Ertinya, sebagai seorang muslim, anda perlu membina diri dengan sebagai seorang muslim yang tunduk pada kekuasaan dan keesaaanNya. Jika tidak, anda akan melampaui batas!

Ilmu mencipta keegoan melampau jika ia tidak menundukkan. Anda samada tunduk dan tawadu’ atau jadi sombong takbur kerana banyak membaca. Anda enggan kecuali hanya tunduk pada nafsu sendiri yang merasa tahu dan serba tahu.

Dalam surah yang sama (al Alaq), Allah berfirman, “Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu pasti melampaui batas tatkala mendapati dirinya cukup!”

Orang alim yang banyak membaca egonya hebat. Dia rasa dia tahu itu dan ini. Soalnya, adakah itu yang Allah mahu daripada arahanNya agar hambaNya membaca? Tidakkan?

Membaca hendaklah dengan nama Allah, keranaNya dan untukNya. Allah berfirman lagi selepas itu, “Sesungguhnya kepada tuhanMulah tempat kembali.”

Ubat mengelak takbur adalah menginsafi bahawa kepadaNyalah tempat kembali. KepadaNya kembali segala perkara. Kebanyakan kita membaca sesuka hati mengikut kehendak dan keseronokan diri. Ini tidak banyak membantu walaupun ia baik.

Rasulullah saw tidak tahu membaca. Apabila baginda disuruh membaca, baginda membaca dan bacaan awal dan akhirnya adalah al Quran. Baginda kemudian dikurniakan ilmu dan hikmat. Al Quran penuh ilmu.

Malangnya kebanyakan manusia seronok menimba ilmu yang bukan dari al Quran atau bersumberkan al Quran. Dia membaca tetapi dia jauh daripada al Quran. Apakah keyakinannya bahawa dia akan selamat daripada ego nafsunya nanti?

Dia mungkin berilmu tetapi ilmunya tidak bermanfaat bahkan merosakkannya. Al Quran hidup di dada orang berilmu yang bertaqwa. Malangnya kita menjauhi buku-buku karangan ulama yang bertaqwa dan leka pula dengan buku-buku yang penulisnya tiada bukti dan petunjuk taqwa.

Kepala dan otak kita dipenuhi pandangan dan jawapan daripada mereka yang kering keinsafan dan kontang rasa takut pada tuhan mereka. Akhirnya kita gagal memperolehi jawapan yang benar yang menenangkan hati kita yang ingin tunduk pada kebenaran sebagai seorang muslim.

Membina diri hendaklah bermula dengan akidah yang benar. Anda perlu melumati ilmu akidah. Dengannya anda akan rasa tenang sungguh untuk berjalan di bumi ini sebab anda akan memandang secara tepat dan tajam. Anda tidak keliru lagi dengan simpang siur di depan.

Membina diri hendaklah bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Anda pula mestilah mendapatkannya melalui jalan yang betul untuk mengenal sesuatu itu adalah benar daripada Allah dan rasulNya. Anda perlu sedar bahawa penafsiran kedua-dua sumber itu dipenuhi kekaburan dan kerumitan kerana jauhnya kita daripada guru pertama iaitu Rasulullah saw, juga murid-muridnya yang diredhai tuhan, iaitu para sahabat ridhwanuLlahi alaihim.

Ada talian emas yang menghubungi kita kepada ar Rasul. Ia bersanad dengan kekuatan para ulama muktabar yang lahir sepanjang zaman. Ia sehingga mencipta darjah ‘mutawatir‘ yang kesepakatan antara mereka adalah akidah yang tidak boleh ditinggalkan lagi. Ia ilmu khas Islam dan tidak mungkin wujud kecuali dalam Islam. Ia ilmu ciptaan sifat amanah dan benar.

Anda perlu memahami betapa sumber ilmu yang anda baca mestilah memakai talian emas ini dan mengambil inspirasi ilmu ini. Jika tidak, kita tidak memperolehi apa-apa kecuali padangan otak manusia yang macam kita juga. Lebih kita hanya pada ilmu. Lebih ilmu hanya pada taqwanya.

Kembalilah membaca al Quran, memahaminya dan dekatilah buku-buku yang muktabar penulisnya dan jernih ilmunya. Kelak kita akan mudah membuat kesimpulan daripada pelbagai jawapan yang dibentangkan di hadapan.

WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A























INI ADALAH PETIKAN DARI WASIAT SAIDINA  UMAR AL-KHATTAB KEPADA KETUA TENTERANYA IAITU SAAD BIN ABI WAQAS KETIKA BELIAU MENGUTUSKANYA UNTUK PEMBUKAAN PARSI.

Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad … ! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan.Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhikan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan. Jumlah bilangan tentera kita jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka jika amalan serta tingkah laku kita sama dengan pihak musuh dalam melakukan maksiat, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak musuh. Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT ke atas musuh-musuh ini, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka. Ketahuilah !!! Bersama -sama kalian ada malaikat yang menjaga keselamatan dan para malaikat ini telah mewakili pihak kerajaan Allah SWT untuk menjaga kamu supaya kamu berasa selamat. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan maka hendaklah kamu berasa malu terhadap apa yang ingin kamu lakukan dan janganlah kamu berkata "Sesungguhnya pihak musuh lebih hina dari kita, mereka tidak akan dapat menguasai ke atas kita sekalipun kita turut sama melakukan kejahatan". Ucapan yang sedemikian boleh jadi akan terbalik kepada kita, maka akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israel yang mana akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api). Sentiasalah kamu memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kamu itu, sebagaimana kamu memohon pertolongan Allah SWT untuk mengalahkan musuh-musuh kamu. Berdoalah untuk diri kamu dan tidak lupa juga buat diri kami...."