BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, December 30, 2013

.::. NAZAM RINDU BUATMU .::.

Seharum kasihmu mendamaikan jiwaku, 
Kala ku kesepian kau penghibur hatiku, 
Kau tempat ku berkongsi segalanya, 
Tatkala berduka mahupun suka. 



Kasihmu..., 
Seteguh Bak Ummu Hani, 
Yang sanggup menolak pinangan nabi, 
Lantaran kasih pada anak-anaknya, 
Sehingga diberi kurnia ibu mithali. 

Begitu jua dirimu ibu, 
Tak pernah mengabaikan kasih pada anakmu, 
Acapkali madah nasihat meniti dibibirmu, 
Buat pedoman untuk diriku. 

Semerdu buluh perindu, 
Gemersik suara kasihmu, 
Melafazkan madah kasih untuk anakmu, 
Menyemai sayang dalam kalbuku. 

Oh ibu..., 
Biarpun kini ku terpaksa berjauhan denganmu, 
Kerna anakmu ingin mencari pengalaman hidupku, 
Namunku tetap merinduimu, 

Biarpun dirimu jauh dari pandanganku. 

Wahai Ratu hatiku, 
Dengarlah nazam rindu dari anakmu, 
Walaupun kita berjauhan 
Wadah kasihmu utuh bersemi dalam jiwaku, 
Penawar rinduku yang acapkali bertamu. 


 

Saturday, October 12, 2013

KALAM CINTA


Tinta kembali melakar
Wadah rindu padaMu
Tiada terungkap dengan kata-kata
Hanya nukilan pencetus rindu

Ya Rahman....
Ku mengharap rahmatMu
Dalam derapan langkah hidupku
Agar tiada rebah di pertengahan
Tatkala disapa ujian

Ya Rabbul Izzati...
Ku mendambakan cintaMu
Yang terlalu Agung dan Suci
Tiada bandingan di dunia ini

Namun...
Sukarnya untukku meraih cintaMu
Terasa kerdilnya diriku ini
Tatkala ku berhadapan denganMu

Ya Rahim
Izinkan diri ini merasai cinta AgungMu
Agar aku tiada rebah dipertengahan
Dalam mencari nur kasihMu

.:: Asy_syuraa .::.

Monday, July 16, 2012

DISEBALIK BANYAK BUKU YANG DIBACA













Mengapa kita sukar memperolehi jawapan yang menenangkan? Atau kita asyik salah membuat kesimpulan? Atau kita terpinga-pinga dan keliru apabila berdepan isu dan persoalan yang melanda di depan mata? Atau paling malang, mengapa kita menyalahkan sesuatu yang sememangnya betul?


Ramai ulama memberikan jawapan bahawa ia sebenarnya berpunca daripada dua faktor yang bertentangan.

Pertama, kita tidak atau kurang membaca. Kedua, kita terlalu banyak membaca!

Anda tidak membaca anda jahil. Itu jawapan untuk manusia hari ini. Dunia kini bergerak sepantas ilmu yang dikuasai manusia. Oleh kerana ilmu adalah dengan membaca, anda akan terperuk di belakang dalam kotak jahil jika anda gagal untuk membaca.

Anda hanya mengharap jawapan daripada angin yang lalu. Akhirnya anda hidup tertipu. Ditipu oleh diri sendiri yang buta atau oleh orang lain yang suka mengambil kesempatan memangsakan anda. Pendek kata, tiada yang positif daripada kalimah jahil. Ubat jahil adalah dengan membaca atau berkawan dengan orang yang membaca.

Perhatikan berapa ramai orang yang tidak membaca dan dia pula suka berkawan dengan orang yang juga tidak membaca. Perhatikan juga betapa orang yang membaca tidak gemar berkawan dengan orang yang tidak membaca.

Jadi, jika anda ingin berkawan dengan orang alim, anda kenalah juga jadi alim dengan membaca. Jika tidak, anda mungkin hanya boleh mendekatinya tetapi dia tidak pun mendekati anda.

Justeru, anda kekal sebagai murid sampai tua. Jika guru anda itu alim yang baik, anda selamat menumpang ilmunya. Jika dia alim yang jahat, anda tak mungkin selamat. Bagaimana anda yang jahil nak selamat jika anda tak tahu pun dia jahat?

Hanya yang berilmu tahu gurunya baik atau tidak. Itu jika si jahil itu mahu jadi murid. Bagaimana jika dia enggan? Tidakkah hanya orang yang mencintai ilmu sahaja yang suka menjadi murid? Begitulah kesukaran mengubat kejahilan.

Justeru adalah tidak sukar untuk mengatakan bahawa orang yang jahil sentiasa sukar memperolehi jawapan yang benar dalam kehidupan dunianya, apatah untuk akhiratnya.

Tetapi, anda perlulah juga sedar bahawa antara faktor sukarnya memperolehi jawapan yang benar adalah kerana terlalu banyak membaca! Banyak membaca adalah baik. Tetapi jika anda membaca apa sahaja sedang anda gagal membina asas binaan diri yang kukuh, bacaan anda itu pasti akan memberati anda lalu ia menindih atau menggelincirkan anda sama sekali.

Anda membaca itu dan ini, pandangan itu dan ini, jawapan itu dan ini. Akhirnya kepala anda jadi berat dan bersilang-silang. Anda gagal memilih mana satu pilihan yang tepat. Sebabnya anda tak tahu siapa anda sebenarnya. Anda belum membina diri sendiri sebelum menduduki binaan orang lain. Apa yang anda baca hari ini?

Ya, Allah berfirman, “Bacalah.” Tetapi tidakkah Dia juga menambah, “Dengan nama tuhanMu.”

Ertinya, sebagai seorang muslim, anda perlu membina diri dengan sebagai seorang muslim yang tunduk pada kekuasaan dan keesaaanNya. Jika tidak, anda akan melampaui batas!

Ilmu mencipta keegoan melampau jika ia tidak menundukkan. Anda samada tunduk dan tawadu’ atau jadi sombong takbur kerana banyak membaca. Anda enggan kecuali hanya tunduk pada nafsu sendiri yang merasa tahu dan serba tahu.

Dalam surah yang sama (al Alaq), Allah berfirman, “Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu pasti melampaui batas tatkala mendapati dirinya cukup!”

Orang alim yang banyak membaca egonya hebat. Dia rasa dia tahu itu dan ini. Soalnya, adakah itu yang Allah mahu daripada arahanNya agar hambaNya membaca? Tidakkan?

Membaca hendaklah dengan nama Allah, keranaNya dan untukNya. Allah berfirman lagi selepas itu, “Sesungguhnya kepada tuhanMulah tempat kembali.”

Ubat mengelak takbur adalah menginsafi bahawa kepadaNyalah tempat kembali. KepadaNya kembali segala perkara. Kebanyakan kita membaca sesuka hati mengikut kehendak dan keseronokan diri. Ini tidak banyak membantu walaupun ia baik.

Rasulullah saw tidak tahu membaca. Apabila baginda disuruh membaca, baginda membaca dan bacaan awal dan akhirnya adalah al Quran. Baginda kemudian dikurniakan ilmu dan hikmat. Al Quran penuh ilmu.

Malangnya kebanyakan manusia seronok menimba ilmu yang bukan dari al Quran atau bersumberkan al Quran. Dia membaca tetapi dia jauh daripada al Quran. Apakah keyakinannya bahawa dia akan selamat daripada ego nafsunya nanti?

Dia mungkin berilmu tetapi ilmunya tidak bermanfaat bahkan merosakkannya. Al Quran hidup di dada orang berilmu yang bertaqwa. Malangnya kita menjauhi buku-buku karangan ulama yang bertaqwa dan leka pula dengan buku-buku yang penulisnya tiada bukti dan petunjuk taqwa.

Kepala dan otak kita dipenuhi pandangan dan jawapan daripada mereka yang kering keinsafan dan kontang rasa takut pada tuhan mereka. Akhirnya kita gagal memperolehi jawapan yang benar yang menenangkan hati kita yang ingin tunduk pada kebenaran sebagai seorang muslim.

Membina diri hendaklah bermula dengan akidah yang benar. Anda perlu melumati ilmu akidah. Dengannya anda akan rasa tenang sungguh untuk berjalan di bumi ini sebab anda akan memandang secara tepat dan tajam. Anda tidak keliru lagi dengan simpang siur di depan.

Membina diri hendaklah bersumberkan al Quran dan al Sunnah. Anda pula mestilah mendapatkannya melalui jalan yang betul untuk mengenal sesuatu itu adalah benar daripada Allah dan rasulNya. Anda perlu sedar bahawa penafsiran kedua-dua sumber itu dipenuhi kekaburan dan kerumitan kerana jauhnya kita daripada guru pertama iaitu Rasulullah saw, juga murid-muridnya yang diredhai tuhan, iaitu para sahabat ridhwanuLlahi alaihim.

Ada talian emas yang menghubungi kita kepada ar Rasul. Ia bersanad dengan kekuatan para ulama muktabar yang lahir sepanjang zaman. Ia sehingga mencipta darjah ‘mutawatir‘ yang kesepakatan antara mereka adalah akidah yang tidak boleh ditinggalkan lagi. Ia ilmu khas Islam dan tidak mungkin wujud kecuali dalam Islam. Ia ilmu ciptaan sifat amanah dan benar.

Anda perlu memahami betapa sumber ilmu yang anda baca mestilah memakai talian emas ini dan mengambil inspirasi ilmu ini. Jika tidak, kita tidak memperolehi apa-apa kecuali padangan otak manusia yang macam kita juga. Lebih kita hanya pada ilmu. Lebih ilmu hanya pada taqwanya.

Kembalilah membaca al Quran, memahaminya dan dekatilah buku-buku yang muktabar penulisnya dan jernih ilmunya. Kelak kita akan mudah membuat kesimpulan daripada pelbagai jawapan yang dibentangkan di hadapan.

WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A























INI ADALAH PETIKAN DARI WASIAT SAIDINA  UMAR AL-KHATTAB KEPADA KETUA TENTERANYA IAITU SAAD BIN ABI WAQAS KETIKA BELIAU MENGUTUSKANYA UNTUK PEMBUKAAN PARSI.

Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad … ! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan.Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhikan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan. Jumlah bilangan tentera kita jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka jika amalan serta tingkah laku kita sama dengan pihak musuh dalam melakukan maksiat, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak musuh. Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah SWT ke atas musuh-musuh ini, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka. Ketahuilah !!! Bersama -sama kalian ada malaikat yang menjaga keselamatan dan para malaikat ini telah mewakili pihak kerajaan Allah SWT untuk menjaga kamu supaya kamu berasa selamat. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan maka hendaklah kamu berasa malu terhadap apa yang ingin kamu lakukan dan janganlah kamu berkata "Sesungguhnya pihak musuh lebih hina dari kita, mereka tidak akan dapat menguasai ke atas kita sekalipun kita turut sama melakukan kejahatan". Ucapan yang sedemikian boleh jadi akan terbalik kepada kita, maka akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israel yang mana akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api). Sentiasalah kamu memohon pertolongan kepada Allah SWT untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kamu itu, sebagaimana kamu memohon pertolongan Allah SWT untuk mengalahkan musuh-musuh kamu. Berdoalah untuk diri kamu dan tidak lupa juga buat diri kami...." 

Thursday, September 8, 2011

.::. PERINGATAN BUAT SAHABAT-SAHABAT DAN SAYA SENDIRI .::.

Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang dunggu kepala otaknya?

Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya! dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya
.
Siapakah orang yang kuat?

Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia didalam kemarahan.

Siapakah orang yang lemah?

Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu. 


Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya. 

Siapakah orang yang tuli?

Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Siapakah orang yang manis senyumanya?


Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.


Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?

Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya. 


Siapakah orang yang kaya?

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini. 


Siapakah orang yang miskin? 


Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta. 


Siapakah orang yang pandai?

Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi 


Siapakah orang yang bodoh?

Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga
untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan. 


Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya. 


Siapa kah orang-orang yang mundur hidupnya?

Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu. 


Siapakah orang yang gila itu?

Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya. 


Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan. 


Siapakah orang yang selalu ditipu?

Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.


♥♥♥ Kenalilah Diri kamu dengan betul-betul Nescaya Engkau Akan Mengenali Tuhan Yang Amat Nyata ♥♥♥

.::. FADAHILAT PUASA ENAM SYAWAL .::.



Nabi s.a.w. bersabda :
"Hiasilah Hari Raya kamu dengan (membanyakkan bacaan) takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (menyucikan Allah dari sifat-sifat kekurangan)."
Riwayat Atthabarani....

Antara fadhilat puasa sunat 6 Syawal :

Puasa Hari Pertama

♥♥♥ mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Adam a.s.
Puasa Hari Kedua
♥♥♥ mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yusuf a.s.
♥♥♥ keluar dosa-dosa dari tubuhnya bagaikan baru dilahirkan dari perut ibu.
Puasa Hari Ketiga
♥♥♥ mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yaakub a.s.
♥♥♥ sekiranya berpuasa tanpa diketahui orang lain, Allah s.w.t. tidak rela untuknya pahala kurang daripada syurga.
Puasa Hari Keempat
♥♥♥ mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Musa a.s.
Puasa Hari Kelima
♥♥♥ mendapat pahala sebaigaimana pahala Nabi Isa a.s.
♥♥♥ menyamai berpuasa sepanjang tahun
Puasa Hari Keenam
♥♥♥ mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Muhammad s.a.w.
♥♥♥ jika ke betulan seseorang makan berhampiran orang yang berpuasa itu, akan dibacakan Istighfar untuknya oleh para malaikat.

Thursday, October 14, 2010

.::. JIKA & KETIKA .::.


Jika kau berasa lelah dan tak berdaya dari usaha yang seperti sia-sia... Allah tahu betapa kuat sudah kau berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedih... Allah sudah menghitung air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu terasa berlalu begitu saja... Allah sedang menunggu bersama-samamu.

Ketika
kau berasa bersendirian dan teman-teman terlalu sibuk untuk menelefon dirimu... Allah sentiasa berada di sampingmu.


Ketika
kau terfikir bahawa sudah berusaha sesungguhnya dan tidak tahu berbuat apa lagi... Allah mempunyai jawapannya.


Ketika
segalanya menjadi sesuatu yang tidak masuk akal dan kau berasa tertekan... Allah bersamamu untuk menenangkanmu.


Jika
tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan... sebenarnya Allah sedang berbisik kepadamu.


Ketika
segala sesuatu berjalan lancar dan kau berasa ingin mengucap syukur... Allah telah pun memberkatimu.


Ketika
sesuatu yang indah terjadi dan kau dipenuhi ketakjuban... Allah akan tersenyum kepadamu.


Ketika
kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digenapi... Allah sudah membuka matamu dan memanggil dengan namamu.


OLEH ITU INGATLAH BAHAWA DI MANAPUN KAU BERADA... ALLAH AKAN MENGETAHUI DAN SENANTIASA BERADA DISAMPINGMU.